Tapai pulut daun getah Azizah pilihan warga Gua Musang - Utusan Malaysia

Tapai pulut daun getah Azizah pilihan warga Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 31 Mei – Setiap kali Ramadan dan Syawal menjelma, seorang wanita warga emas, Azizah Seman tidak menang tangan menyiapkan tempahan tapai pulut dibungkus daun getah yang menjadi kegemaran orang ramai di sekitar jajahan ini.

Azizah, 60, mengakui hidangan tradisional itu mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri walaupun hanya menggunakan bahan asas seperti beras pulut dan ragi.

Buktinya, setiap tahun permintaan terhadap hidangan manis itu sentiasa meningkat dan kali ini, dia perlu menyiapkan tempahan sebanyak 10,000 biji tapai pulut menjelang hari raya Aidilfitri.

Azizah yang telah membuat tapai pulut sejak berumur 20 tahun berkata, bagi mengekalkan keaslian rasa dia menggunakan daun getah serta kaedah tradisional yang dipelajarinya.

Katanya, keaslian rasa tapai yang manis dan sedikit masam menjadi pembuka selera sebelum atau selepas menjamah hidangan lain.

“Saya membuat tapai menggunakan beras pulut sebanyak lima hingga ke sepuluh kilogram setiap hari.

“Hidangan tapai ini menjadi kewajipan dan sambutan hari raya seolah-olah tidak lengkap tanpa menikmati keenakan juadah tradisional itu sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Damar di sini, hari ini.

Azizah berkata, hidangan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Pantai Timur di negeri Kelantan dan Terengganu ini harus dipertahankan walaupun terdapat pelbagai juadah moden yang lain.

“Saya masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan daun getah dan warna asli walaupun ketika ini sudah ramai orang menggunakan bekas plastik dan bahan pewarna berwarna-warni untuk membuat tapai,” katanya.

Tapai Azizah dijual pada harga RM30 bagi setiap 100 biji. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN