Tangan yang menggoncang dunia - Utusan Malaysia

Tangan yang menggoncang dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIAM tak diam sudah lebih dua minggu rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Semua juga sudah maklum apa keputusannya bahkan pelbagai analisis dan rumusan juga telah dibuat pasca pilihan raya umum kali ini yang dianggap paling sengit dan mengejutkan dalam sejarah demokrasi negara kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sudah pun membentuk Kabinet atau jemaah menterinya. Walaupun ada sosek-sosek berbaur sindiran apabila proses pelantikan menteri berlangsung agak perlahan, bagi penulis perkara itu bukanlah masalah besar.

Lagipun kita kenalah memberi masa kepada kerajaan baharu ini kerana proses penubuhan Kabinet Malaysia kali ini bukanlah seperti pasca PRU yang lepas-lepas. Jika sebelum ini hanya melibatkan kesinambungan kuasa kerajaan yang sama, buat pertama kalinya sejak 61 tahun merdeka dan selepas 14 kali pilihan raya umum berlangsung, kita menyaksikan peralihan kuasa parti yang memerintah.

Kebanyakan anggota Kabinet kerajaan baharu ini kecuali Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, belum pernah menjadi menteri, malah tidak keterlaluan dikatakan sebagai ‘budak hingusan’ dalam kerajaan. Jadi jika ada tindak-tanduk mereka yang masih janggal, bernada pembangkang, maafkan sahajalah.

Bagaimanapun anggota Kabinet dalam kerajaan baharu PH ini kenalah cepat-cepat membiasakan diri. Tanggalkan segera ‘pakaian pembangkang’ dan bertindaklah sebagai pentadbir negara. Jangan lagi hanya menuding jari menunjuk salah di sana sini sedangkan mereka sudah ada ‘kuasa’ dan platform untuk membuat pembetulan dan melaksanakan apa yang mereka laung-laungkan sebagai lebih baik untuk rakyat sebelum ini. Mereka ada tempoh lima tahun untuk melakukannya!

Dalam PRU-14, antara yang menarik perhatian dan menjadi bahan bualan ialah tentang betapa begitu banyak rekod dicatatkan seolah-olah mengiyakan gelaran yang diberikan sebagai ‘ibu’ atau ‘bapa’ segala pilihan raya.

Rekod Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang pertama dipilih dua kali sebagai Perdana Menteri (PM); PM pertama paling berusia; dan mungkin juga PM paling lama memerintah jika cadangan PH sebelum ini untuk mengehadkan tempoh pemegang jawatan itu hanya dua penggal, dilaksanakan.

Satu lagi rekod yang lebih menarik minat penulis ialah apabila Malaysia buat pertama kalinya mempunyai Timbalan Perdana Menteri (TPM) wanita. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga mencatat rekodnya tersendiri sebagai isteri bekas TPM yang pertama menjadi TPM. 

Wan Azizah
Wan Azizah

Sungguh unik dan penuh ironi. Apa yang berlaku bagi penulis menunjukkan betapa suburnya demokrasi di negara ini.

Terbaru, Perdana Menteri mengumumkan yang Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia itu juga akan memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Jika diimbau pelantikan wakil rakyat mahupun ahli Senat wanita dalam jemaah menteri sebelum-sebelum ini, jawatan kedua itulah yang seolah-olah menjadi portfolio khusus untuk mereka. 

Walaupun terdapat lebih 20 kementerian, dan ini bermakna ada sekurang-kurangnya 20 jawatan menteri dalam Kabinet Malaysia, portfolio yang sinonim dengan wakil rakyat wanita yang diberikan kerajaan hanya yang itu jugalah – menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal wanita, keluarga dan kebajikan. 

Kecuali bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Allahyarham Tan Sri Napsiah Omar yang pernah menjadi Menteri Perusahaan Awam, rata-rata menteri wanita ditugaskan menjaga portfolio tersebut atau jika pun mempunyai tugas lain diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini termasuklah Datuk Seri Azalina Othman yang menjaga Parlimen dan Datuk Seri Nancy Shukri (pengangkutan awam darat).

Walaupun tempoh kemerdekaan negara kita tidak jauh bezanya dengan jiran senusantara seperti Indonesia, Filipina dan Singapura malah negara Indo-China, kita sebenarnya agak ketinggalan dari segi memberi layanan saksama terhadap pemimpin wanita. Ketika negara-negara berkenaan sudah mempunyai Presiden wanitanya yang dipilih berdasarkan merit, kita masih lagi bergelut dengan soal kuota 30 peratus sebagai pembuat dasar.

Malah menjelang PRU-14, ada suara sumbang termasuk dalam kalangan orang ternama skeptikal dengan keupayaan Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PKR untuk memikul cabaran memegang antara jawatan terpenting dalam pentadbiran negara. Yang menyedihkan bukan soal latar pendidikan, kerjaya dan pengalaman politiknya yang diperdebatkan, sebaliknya trademark kipas tangannya yang menjadi bahan sindiran dan sunggingan.

Hakikatnya Dr. Wan Azizah yang mesra dipanggil Kak Wan bukanlah seorang yang ‘ambitious’ atau terlalu bercita-cita tinggi untuk menduduki pucuk pimpinan tertinggi kerajaan, namun itu tidak pula menghilangkan kelayakannya untuk bergelar TPM bahkan mungkin PM.

Pepatah Melayu tidak salah apabila mengungkapkan bahawa, “tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia”. Benar juga ungkapan bahawa, “di sebalik kejayaan seorang lelaki itu berdiri seorang wanita di belakangnya”.

Siapa sangka, Dr. Wan Azizah yang pernah digelar oleh media sebagai ‘reluctant politician’ walaupun bukan dengan kerelaannya menggalas tugas sebagai ketua parti yang memperjuangkan pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya muncul sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran negara.

Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, yang juga mencatat rekod dua kali menjadi isteri Perdana Menteri tidak boleh dinafikan peranannya sebagai penyokong kuat kejayaan Dr. Mahathir. Kalau Dr. Mahathir dikagumi kerana masih cergas dan cerdas pada usia 93 tahun, tentulah kekaguman itu juga layak diterima oleh Dr. Siti Hasmah yang seusia.

Puan Sri Norainee Abdul Rahman, isteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga wanita yang setia berdiri di belakang suami ketika beliau meninggalkan jawatan TPM dan dipecat daripada parti, berhadapan kecaman dan tohmahan sebelum kembali ke dalam kerajaan walaupun menerusi parti yang berbeza. 

PRU-14 merekodkan bukti sumbangan wanita dalam mencorakkan landskap politik negara. PRU-14 juga menyaksikan pencapaian calon wanita sama ada dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan terlihat cukup menyerlah.

Pasca PRU-14 sudah pasti menjanjikan lebih banyak cerita dan berita melibatkan para pemimpin wanita di negara kita. Selain Dr. Wan Azizah, kehadiran dua lagi menteri wanita dalam kerajaan PH iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR di samping Ketua Srikandi PPBM, Rina Harun selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar, pasti menarik untuk diberi perhatian.

Pada masa sama, di sebelah Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang kini menjadi pembangkang sudah pasti akan tampil muka-muka baharu untuk membawa cabaran parti itu melakukan transformasi setelah beberapa pemimpin lama secara terbuka mengumumkan pengunduran.

UMNO mengikut jadualnya kini sepatutnya menjalankan persidangan peringkat cawangan dan bahagian, yang juga melibatkan sayap Wanita dan Puteri,  menjelang pemilihan Majlis Tertinggi pada Jun depan. Sehingga kini belum jelas siapakah wajah-wajah yang akan menggantikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin membawa obor parti itu menongkah arus perjuangan yang tidak semudah pra-PRU-14.

Yang pasti, masing-masing sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang mampu memainkan peranan secara efisien dan efektif bagi memperkasakan kedudukan wanita di Malaysia dalam segenap lapangan. Pemimpin wanita BN yang mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan sudah tentu dapat berperanan sebagai pembangkang yang bijak mengupas dan menghujah dasar-dasar berkaitan yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan PH.

Penulis berharap peranan wanita dalam semua lapisan pada masa depan akan semakin menonjol dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Buktikan tangan lembut yang menghayun buaian benar-benar mampu mengubah dunia menjadi lebih indah dan bermakna.

 

 

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini