Hari itu hari yang cukup istimewa bagi Foo Hwei Jiek. Setelah teruja menyaksikan ibu tapir, Mala dan anaknya, Eli menikmati daun-daun nangka penuh berselera, Hwei Jiek kemudiannya menanam anak pokok nangka yang menjadi makanan sinonim hidupan liar unik tersebut.
Wanita yang merupakan Ketua Perdagangan Watsons Malaysia itu berasa cukup terharu. Watsons merupakan rangkaian farmasi terkenal di negara ini.
“Sudah lama saya teringin untuk menanam pokok, akhirnya hari ini saya dapat melakukannya. Walaupun ia cumalah pokok yang kecil, maknanya cukup besar bagi saya.
“Apa yang ditanam ini diharapkan akan tumbuh sebagai sumber makanan tapir-tapir untuk membolehkan ia menjadi tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui usai acara penanaman pokok nangka bagi konservasi tapir di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.
Sehari sebelum Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27 April lalu, seramai 15 pekerja Watsons bersama sekumpulan media telah ke pusat konservasi tersebut untuk menunjukkan keprihatinan terhadap haiwan di ambang kepupusan itu.
Pada hari tersebut juga, Watsons telah menyampaikan sumbangan cek sebanyak RM30,524 hasil kutipan kempen We Hug Tapir yang telah dikumpul daripada pelanggan-pelanggan Watsons sejak 27 Mac lalu. Cek disampaikan kepada Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Konservasi Malaysia (Ecomy), Sebastian Andrew.
Dalam kempen yang merupakan kolaborasi Watsons, Pocotee & Friends dan Ecomy itu, setiap RM1 daripada jualan produk penjagaan diri Naturals by Watsons disumbangkan untuk program pendidikan alam sekitar bagi pemuliharaan tapir Malaya.
Spesies terbesar
Selain penyampaian cek dan penanaman kira-kira 20 pokok nangka, para peserta turut berpeluang melihat tapir dan mendengar penerangan mengenai haiwan itu daripada Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd. Rahim Othman.
Tapir Malaya atau Tapirus indicus ialah haiwan unik yang dikenal pasti dengan warna hitam dan putih pada tubuhnya. Ia terdapat di Semenanjung Malaysia, Myanmar, Thailand dan Indonesia.
Di dunia ini terdapat lima spesies tapir dengan tapir Malaya merupakan spesies terbesar.
Walaupun tapir bukanlah sejenis haiwan yang lazim digelar terbesar, Abd. Rahim berkata, ironinya itulah mamalia paling besar di Selangor dan kini disifatkan terancam.
“Di Selangor, mamalia paling besar kita ada inilah (tapir). Haiwan mamalia lain semua sudah pupus, gajah sudah hampir tidak ada. Di negeri-negeri lain ada juga mamalia lain.
“Tapir pun sedang terancam secara kritikal. Pada tahun 2013, bilangannya di negara ini antara 1,100 hingga 1,500 ekor, namun kini cuma 600 hingga 700 ekor kerana habitatnya yang berkurangan,” katanya.
Dilanggar kenderaan
Abd. Rahim berkata, selain pembangunan komersial antara ancaman lazim yang dideritai tapir ialah dilanggar kenderaan.
“Dari 2006 hingga sekarang, ratusan tapir telah terbunuh di jalan raya dan di Selangor jumlahnya adalah sebanyak 12 ekor. Pada tahun ini sahaja dua ekor tapir telah terbunuh di jalan raya. Walaupun ada papan tanda hati-hati tapir melintas, tapi tetap berlaku perlanggaran, ini juga mungkin kerana tapir suka keluar pada waktu malam.
“Tapir memerlukan kawasan yang luas untuk berkeliaran mencari makan. Kalau hutan itu tidak begitu kaya dengan makanannya, ia akan keluar dari habitat lalu berlaku konflik dengan manusia,” katanya.
Menurutnya di Selangor, rata-rata hutan besar di negeri ini dipercayai menjadi habitat tapir seperti hutan simpan Raja Musa, Semenyih, Bukit Gading dan Hulu Langat.
Mengenai pusat konservasi tapir di Sungai Dusun itu, Abd. Rahim berkata, sebelum ini, ia merupakan tempat konservasi badak Sumatera tetapi kini haiwan itu boleh dikatakan sudah pupus di Semenanjung Malaysia.
“Oleh kerana ia tidak ada lagi, kini kita fokus kepada tapir. Di sini selain membuat pembiakan, ia juga menjadi pusat menyelamatkan tapir-tapir yang sakit, cedera dan sebagainya kerana tapir tinggal di tanah rendah dan sering berkonflik dengan manusia. Pada masa ini, ada sembilan ekor tapir di pusat ini.
“Tapir yang sudah pulih atau sihat biasanya dilepaskan ke Taman Negara, Pahang atau hutan-hutan berhampiran,” katanya.
Abd. Rahim berkata, makanan kegemaran tapir ialah daun nangka atau pokok-pokok yang bergetah. Selain itu, ia makan daun-daun lain seperti senduduk, dan balik angin.
Kesedaran
Abd. Rahim memuji usaha yang dilaksanakan Watsons itu dan mengalu-alukan penglibatan orang ramai dalam usaha memulihara tapir.
“Saya amat berterima kasih dan berbesar hati kerana Watsons telah maju selangkah untuk sama-sama membantu kita meningkatkan kesedaran dan menyumbang kepada program-program konservasi.
“Saya harap, dari semasa ke semasa, penglibatan antara orang awam dan agensi-agensi berkenaan dipertingkatkan untuk memelihara hidupan liar terutama tapir, kerana saya percaya usaha konservasi adalah usaha berpasukan dan tidak boleh berharap kepada satu pihak sahaja,” katanya.
Sebenarnya, program yang diadakan Watsons ini adalah program bagi tahun kedua selepas kali pertama melakukan kempen berhubung konservasi tapir pada tahun lalu.
Pengarah Pelanggan Watsons Malaysia, Danny Hoh berkata, Watsons percaya harus memainkan peranan dalam memberi impak kepada konservasi hidupan liar dan alam sekitar.
“Kami mengambil peluang ini untuk terus mendidik pelanggan-pelanggan tentang kewujudan tapir Malaya, spesies yang sedang berdepan ancaman disebabkan aktiviti komersial manusia.
“Tapir menjadi bahagian penting dalam ekosistem iaitu sebagai penyebar biji benih dan merupakan salah satu daripada hidupan liar tertua yang kehidupannya masih bertahan dalam dunia haiwan,” katanya.
Berpeluang melihat tapir, penulis menyedari ia haiwan yang istimewa. Jika beruang panda yang berwarna hitam dan putih itu terlalu diagung-agungkan, mengapa tidak tapir Malaya?
Tapir Malaya dikhuatiri akan pupus apabila bilangannya di negara ini kian berkurangan dari sekitar 1,100 hingga 1,500 ekor pada 2013 kepada kira-kira 600 ke 700 ekor sahaja pada masa ini.










