Tamatkan segera khidmat lantikan politik di GLC – Ezam - Utusan Malaysia

Tamatkan segera khidmat lantikan politik di GLC – Ezam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Bukan sahaja dalam perkhidmatan awam, malah kakitangan pelantikan politik dalam perkhidmatan separa awam seperti badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu segera ditamatkan perkhidmatannya.

MOHAMAD EZAM MOHD. NOR
MOHAMAD EZAM MOHD. NOR

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, perkara ini penting kerana berbanding perkhidmatan awam, pelantikan politik dalam perkhidmatan separa awam tersebut kebiasaannya memegang jawatan besar dan berperanan menguruskan dana-dana yang besar.

“Tambahan lagi, beberapa badan tersebut turut terpalit dengan masalah pengurusan dan tadbir urus dana awam yang membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal-skandal lain.

“Membiarkan mereka terus berada dalam posisi sekarang boleh memberi ruang kepada mereka untuk melakukan pembetulan terhadap salah laku yang dilakukan tanpa bertanggungjawab,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan kerana merupakan pelantikan politik da­ri­pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Mengulas lanjut, Ezam turut berpanda­ngan semua pemimpin dan sayap parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu memainkan peranan membantu kerajaan mendapatkan maklumat tentang pelantikan politik tersebut memandangkan ia melibatkan jawatan yang banyak dan rumit.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kenyataan Pe­ngerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa jawatan dalam badan-badan berkanun, GLC dan entiti berasaskan ekonomi tidak lagi diisi oleh ahli politik.

“Jawatan ini mesti diisi oleh golongan profesional yang bukan sahaja berketrampilan malah bersedia membawa agenda perubahan yang disasarkan kerajaan baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN