MADRID – Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos mengakui tugas mereka pada aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool Ahad ini bukan mudah dan mengakui skuad kendalian Jurgen Klopp akan bermain secara agresif sepanjang perlawanan.
![]() |
|
KROSS mengakui Klopp merupakan seorang pakar taktikal dan menjangkakan aksi sukar bakal dihadapi Real pada aksi final nanti.
|
Pada saingan akhir tersebut, dua pasukan gergasi tersebut akan bertemu di Stadium Olimpik Kiev, Ukraine malam esok sudah pasti ia merupakan pertembungan antara yang dinantikan-nantikan.
Kroos mengakui ketika dia bersama Bayern Munich dalam saingan Bundesliga, dia berdepan kesukaran untuk mengatasi Borussia Dortmund yang ketika itu dibimbing Klopp.
Oleh itu, pemain berusia 28 tahun itu mengakui Real akan berdepan kesukaran untuk bergelar juara musim ini dan perlu berhati-hati di sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
“Ketika Klopp menjadi jurulatih Dortmund, kami selalu berdepan masalah untuk meraih kemenangan. Sudah pasti, Klopp akan bermain dengan corak perlawanan yang agresif terutama di barisan serangan.
“Jadi, kami perlu berhati-hati dengan segala ancaman pada perlawanan sebenar nanti. Tetapi saya yakin kami mampu menyekat kemaraan mereka daripada terus menguasai perlawanan.
“Saya akui 11 pemain yang akan diturunkan semua yang terbaik dan di pentas final ini mereka (Liverpool) bermain dengan motivasi tinggi untuk memberi tekanan sepanjang perlawanan. Ini antara cabaran yang kami akan tempuhi,” katanya. – Agensi










