PASIR SALAK 31 Mei – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan diri untuk bertanding satu jawatan kepemimpinan di peringkat tertinggi pada pemilihan UMNO akan datang selepas Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak sebulat suara menyokong beliau bagi membangkitkan kembali parti keramat itu untuk menjadi gagah perkasa seperti masa lampau.
Tajuddin yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama dua penggal, bagaimanapun akan mengumumkan secara rasmi jawatan yang telah diputuskan untuk ditandinginya itu dalam satu sidang akhbar pada Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 5.30 petang.
Tajuddin percaya, pengalamannya selama 42 tahun dalam UMNO dengan bermula di peringkat akar umbi, sedikit sebanyak dapat membantu untuk membangkitkan semula obor perjuangan sekiranya mendapat sokongan daripada ahli parti.
“UMNO merupakan sebuah parti keramat yang gagah perkasa selama 70 tahun. Walaupun kita menghadapi kekalahan di peringkat nasional dan beberapa buah negeri, tetapi apabila diteliti keputusan itu, kita dapati sokongan orang Melayu terhadap UMNO masih kuat.
“Kita menang sebanyak 54 buah kerusi iaitu sebuah parti di antara parti-parti politik, yang mendapat bilangan kerusi yang terbanyak dalam Parlimen sebenarnya. Sokongan orang Melayu begitu hebat sebanyak 2.5 juta dan ia adalah sokongan paling banyak sekali kepada parti politik iaitu kepada UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak yang berakhir tengah malam semalam di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini semalam. – UTUSAN ONLINE










