PASIR SALAK – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan mahu menaikkan kembali kegemilangan parti itu di dalam negara demi kepentingan orang-orang Melayu dan Islam.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, justeru, beliau akan bertanding salah satu jawatan tertinggi parti pada pemilihan yang bakal dilangsungkan pada bulan hadapan.
“Saya sudah berkhidmat kepada UMNO sejak 42 tahun lalu bermula dari bawah sehinggalah kepada MT. Saya tahu asam garam perjuangan UMNO dan yakin mampu menyumbang idea dan tenaga sepenuh masa untuk membantu parti keramat ini bangkit kembali.
“Bagaimanapun, jawatan tersebut hanya akan diumumkan secara rasmi dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada pukul 5.30 petang Ahad ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Pasir Salak di sini lewat malam tadi.
Tambah Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat berkenaan.
“Akar umbi melihat saya berkemampuan untuk meneruskan perjuangan parti ini agar ia menjadi gagah perkasa kembali.
“Pemilihan kali ini sangat penting dan keputusan untuk membuka semua jawatan untuk dipertandingkan adalah tepat bagi memberi pilihan kepada ahli parti membuat penilaian yang betul bagi menguatkan parti,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, UMNO masih sebuah parti yang revelan memandangkan majoriti orang Melayu masih memilih UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Menurutnya, sudah tiba masanya Pas bekerjasama dengan UMNO kerana baginya dua parti itu mempunyai perjuangan yang sama iaitu membela nasib orang Melayu dan Islam. – K! ONLINE










