KUALA LUMPUR – Pelakon Syafiq Kyle memilih untuk tidak menjawab mengenai kontroversi penyebaran video didakwa miripnya yang tular di Internet baru-baru ini.
Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, berkata, sama ada lelaki dalam video tersebut adalah dirinya atau tidak, ia terpulang pada masyarakat untuk menilai.
“Objektif saya menganjurkan sidang akhbar ini adalah untuk memberitahu orang ramai yang saya mahu meneruskan kehidupan tanpa memandang ke belakang.
“Terpulang apa yang orang lain mahu fikir tetapi inilah jawapan yang terakhir dan muktamad daripada saya,” ujarnya.
Pelakon drama bersiri Nur itu ditemui dalam sebuah sidang media tertutup di Hotel Grand Mellinium di sini malam semalam.
Dalam pada itu, Syafiq berkata, dia sebenarnya telah dimaklumkan tentang video tersebut sejak dua tahun lalu oleh beberapa individu berlainan, namun dia sendiri tidak dapat memastikan kesahihannya.
Namun, dia tidak sedar yang video berkenaan didagangkan secara senyap secara atas talian.
“Saya tahu tentang video ini cuma tidak tahu ia dijual dalam kalangan pengguna internet,” katanya lagi.
Hujung minggu lalu, dunia hiburan kecoh apabila video lucah menampilkan sosok lelaki bogel yang didakwa mirip Syafiq Kyle tular di laman sosial.
Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan sedang berinteraksi dengan seorang wanita bernama Mira menerusi panggilan video dan melakukan adegan yang kurang sopan.
Ditanya pula adakah dia dah Mira pernah bertemu sebelum ini, jawab Syafiq, dia mungkin pernah mengenali wanita itu.
“Mungkin saya pernah kenal dia. Tetapi, saya tidak mahu memanjangkan cerita,” katanya ringkas.
Berkenaan tindakan susulan selepas penularan video berkenaan, Syafiq masih berbincang dengan pihak pengurusan dan peguamnya sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang. – K! ONLINE










