PUTRAJAYA 10 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memperoleh keputusan penuh.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu angka rasmi penjumlahan undi daripada 222 Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
“Kita minta rakyat bersabar dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat di seluruh negara kerana ada pusat mengundi di pendalaman dan sebagainya.
“SPR menafikan cuba melengah-lengahkan keputusan PRU-14 kerana masih menunggu angka rasmi daripada pusat penjumlahan undi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengakui keresahan parti politik bertanding untuk mendapatkan keputusan penuh untuk mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan.
“Kami tiada apa-apa muslihat, sebaik keputusan diperoleh, kami akan umumkan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE










