TANGKAK 27 Mei – Setiap Ramadan adalah saat yang paling sibuk bagi seorang pembuat songkok tinggi terkenal, Syamsul Bahri Sati dari Bukit Gambir di sini kerana terpaksa menyiapkan lebih banyak tempahan pelanggan untuk persiapan menyambut 1 Syawal.
Begitu juga keadaanya pada tahun ini, Syamsul Bakri, 59, tidak mempunyai banyak masa rehat kerana jumlah tempahan yang datang bukan sahaja dari sekitar daerah ini dan Muar tetapi dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan bandar lain.
“Untuk songkok tinggi yang biasa digunakan oleh pasukan tarian zapin Johor sahaja sudah melebihi 100 pasang setakat ini sudah disiapkan.
“Ini tidak termasuk songkok biasa yang sudah ditempah awal oleh peniaga-peniaga dari merata tempat,” katanya ketika ditemui di kompleks Pasar Tani, pekan Bukit Gambir di sini semalam.
Beliau mengakui tempahan songkok tinggi banyak dari luar daerah khususnya Kuala Lumpur dan Selangor selepas cerita mengenai kepakarannya membuat songkok tinggi di siarkan di TV3 baru-baru ini.
Menurut Syamsul Bakri, kebanyakan pelanggannya terkejut dengan harga setiap pasang songkok tinggi yang dijualnya sehingga 50 peratus lebih murah daripada yang dijual di kedai-kedai songkok tersohor lain di tempat lain.
“Setiap pasang songkok tinggi yang saya buat dengan baldu berkualtii terbaik saya cuma kenakan harga RM80 sahaja, berbanding di tempat lain dijual pada harga RM150 manakala songkok rendah biasa saya jual antara RM20 hingga RM30 sahaja,” katanya.
Ditanya tentang kemahiran membuat songkok, Syamsul Bakri menceritakan, kemahiran itu diwarisi daripada arwah ayahnya yang pernah membuka kedai songkok sejak beliau masih kecil di pekan Bukit Gambir iaitu kira-kira 30 tahun lalu.
Sekarang ini beliau dibantu isteri dan seorang anak lelakinya, Nafiz Faizal untuk menjahit tempahan songkok tradisional itu.
Syamsul Bahri yang bersyukur dengan sambutan umat Islam terhadap songkok buatannya memberitahu, untuk songkok tinggi, beliau boleh menyiapkan 20 pasang sehari, tidak termasuk songkok biasa yang telah mula dibuat sebelum ketibaan Ramadan lagi.
“Saya agak hairan dengan sikap setengah orang muda sekarang yang tidak mahu mewarisi kemahiran ayah mereka dalam membuat barangan seperti saya, walhal jika mereka tekun dan sabar, mereka boleh memperolehi pendapatan lebih lumayan daripada bekerja makan gaji di bandar-bandar besar,” ujarnya.











