ALOR SETAR 20 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO negeri menggesa semua jawatan dalam pemilihan parti akan datang dibuka seluas-luasnya dengan meletakkan pemimpin yang betul di tempat sepatutnya agar ahli berani buat perubahan demi membina kembali parti.
![]() |
|
SHAIFUL HAZIZY AZINOL ABIDIN
|
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Azinol Abidin berkata, keberanian ahli UMNO membuat keputusan adalah isyarat awal kepada rakyat untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Malah menurutnya, sekiranya ahli UMNO gagal memberi mesej positif kepada rakyat maka sudah tentunya ia menunjukkan parti tersebut sudah kalah pusingan awal sebelum masuk ke gelanggang.
“Pemuda UMNO Kedah juga mohon agar perubahan ini tidak hanya berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi sahaja di mana ketua bahagian yang sudah terlalu lama memegang jawatan perlu tunjuk jiwa besar dengan memberi beri laluan kepada muka baharu.
“UMNO perlu nampak segar dan relevan pada setiap ketika dan pada masa yang sama memberi ‘signal’ positif kepada rakyat untuk berhadapan dengan PRU15,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tidak bersetuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata, faktor kekalahan pada PRU-14 yang lalu adalah rakyat melihat UMNO bersifat feudal dan tidak dinamik berbanding dengan Pakatan Harapan yang dilihat lebih bercirikan ‘TN50’ berbanding Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Dalam pada itu, pergerakan tersebut turut mencadangkan agar Khairy Jamaluddin membuat pertimbangan untuk mengisi dua jawatan teratas parti dalam usaha menyelamatkan parti tersebut.
“Kami ingin menyarankan agar Khairy Jamaluddin mempertimbangkan untuk mengisi jawatan samada Presiden atau Timbalan Presiden, tidak timbul soal ‘nak menjaga hati’ pemimpin tertentu tetapi lebih kepada nak membina kembali parti daripada runtuhan kehancuran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE












