IMPIAN memiliki cahaya mata pastinya disimpan kemas dalam hati setiap pasangan yang berkahwin. Namun rezeki semuanya pada tangan Yang Maha Esa, siapa kita untuk menentukan detik menerimanya.
Tiga tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata, pengacara popular, Sarimah Ibrahim sentiasa percaya dan terus menanam sifat bersangka baik terhadap setiap perancangan-Nya.
Mendedahkan pernah mendapat nasihat daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung rawatan moden, Sarimah bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dalam menyusun atur perancangan itu.
Mahu lebih memberi fokus kepada kehidupan berkeluarga, isteri kepada cucunda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 44, atau mesra disapa Tunku Jamie ini mahu berehat dari industri untuk seketika.
“Saya sudah lama menghiburkan peminat dengan bakat yang ada. Sekarang saya mahu fokus kepada kehidupan yang menggembirakan saya pula. Suami dan keluarga adalah fokus saya sekarang.
“Memang belum ada rezeki anak tetapi saya dan suami akan terus mencuba. Lagipun saya sangat kuat bekerja, begitu juga suami jadi masa terluang untuk bersama itu agak terhad.
“Sekarang dia minta saya fokus keluarga dan perancangan untuk mendapatkan zuriat. Ada juga terfikir untuk buat rawatan moden tetapi nantilah, bukan sekarang,” kata pelakon filem Janji Diana ini.
Membuka gelanggang cerita tentang rahsia yang dikongsi oleh Siti Nurhaliza kepadanya, Sarimah berkata, dia cukup mengagumi kekuatan dan ketabahan penyanyi popular itu yang menanti rezeki dikurniakan anak selama 11 tahun.
Dia sendiri mengakui menitiskan air mata tatkala mendengar khabar Siti Nurhaliza sudah hamil. Justeru, dia nekad untuk membulatkan semangat dan percaya terhadap perancangan Allah.
“Siti dan saya mempunyai persamaan, kami kuat bekerja. Jadi sedikit sebanyak masing-masing memahami kesukaran dan perasaan dalam hati. Bayangkan, dia bersabar selama 11 tahun, saya baru tiga tahun (berkahwin).
“Memang sedikit gementar untuk menggunakan kaedah tabung uji atau pembenihan in-vitro (IVF) tetapi teknologi Allah sudah beri takkan kita tak mahu guna. Usaha itu penting.
“Saya dan suami tidak mempunyai masalah, jadi saya percaya belum rezeki lagi. Kami akan terus mencuba. Mungkin jadi, mungkin tidak. Allah yang tahu,” jelas anak seni berusia 40 tahun ini.
Bertubi-tubi menerima soalan tentang anak tatkala bersua dengan orang ramai, Sarimah mengakui sedikit tertekan namun dia bersikap positif dan percaya ini adalah ujian untuk mereka suami isteri.
Alang-alang berbicara soal suami, soalan terarah kepada bagaimana kehidupannya selama tiga tahun bergelar isteri. Hanya tersenyum manis seraya memandang suami, Sarimah bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi.
Mendedahkan dirinya lebih manja tatkala di rumah, dia merasakan sifat ego dan mahu sentiasa menang dalam setiap perkara seharusnya dijauhi pasangan suami isteri.
“Kita kena jaga hati suami dan perlu bertolak ansur dalam setiap perkara. Memang ada pasang surutnya tetapi kita sebagai isteri perlu bijak mengendali situasi yang berlaku.
“Kalau dia merajuk, kita kena pujuk. Suami menanam erti kesabaran dalam diri saya. Contohnya, kalau dia marah dia akan diam. Saya tak boleh kalau orang diam tapi saya sabar sahaja,” katanya.
Menangis kerana Thrill
Menceburkan diri dalam bidang perniagaan menuntut komitmen yang tinggi khususnya daripada mereka yang baru pertama kali mencuba. Perancangan dan strategi pemasaran perlu dinamik dan berkesan.
Berbicara soal produk kosmetik baharunya, Thrill, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kini Kau Tiada itu mendedahkan, dia pernah ditipu puluhan ribu ringgit oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Saya budak baharu dalam dunia perniagaan. Bila orang janjikan bulan dan bintang, kita mudah percaya. Saya sendiri pernah ditipu hampir RM40,000 kerana percayakan pengilang produk kosmetik.
“Memang banyak kilang produk kosmetik yang menawarkan harga yang murah tetapi kualiti sangat menyedihkan. Kita kena betul-betul periksa kandungan produk yang diberi.
“Saya pernah menghantar produk yang dikeluarkan oleh sebuah kilang ke Singapura dan ternyata kandungan produk tersebut sangat berbeza dengan formula yang kami beri, saya kecewa sangat,” katanya.
Pernah berasa gagal dan mahu menyerah kalah, Sarimah bagaimanapun menguatkan semangat dan akhirnya bertemu dengan pengilang yang berjaya menghasilkan produk dengan formulanya sendiri.
“Saya menangis apabila kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit tetapi akhirnya produk ini berjaya dikeluarkan. Saya sendiri mengalami kesukaran untuk mencari produk kosmetik yang sesuai dengan kulit.
“Thrill bukan sahaja bertindak sebagai bedak asas tetapi juga menyembuhkan kulit dan memberi rawatan khususnya mereka yang mempunyai masalah kulit berjerawat dan sensitif.
“Dengan harga berpatutan, saya percaya pembeli akan berpuas hati dengan kualiti produk yang kami tawarkan,” jelasnya yang berkolaborasi dengan portal beli belah, Lazada untuk memasarkan produk Thrill.










