KUALA LUMPUR 31 Mei – Sebaik pulang daripada mengerjakan ibadah umrah bersama suaminya, Shuib Sepahtu selama 14 hari, Siti Sarah Raissuddin, 34 atau Sarah menjelaskan dia belum memuktamadkan keputusan untuk mengekalkan imej bertudung seperti sekarang.
Menurut Sarah, bukan sahaja sewaktu berada di Mekah, malah sepanjang masa dia memanjatkan doa agar diberikan hidayah, sekali gus menjadi insan lebih baik dari semasa ke semasa.
“Jujurnya, saya tidak boleh menjangkakan apa-apa sama ada imej bertudung ini dikekalkan atau pun tidak.
“Baik buruk datangnya daripada Allah dan setiap kelakuan kita akan berbalik kepada-Nya,” katanya ringkas.
Reaksi penyanyi itu disuarakan ketika mengulas tentang pujian peminatnya di laman Instagram yang terpesona melihat keayuan penyanyi lagu Ke Hujung Dunia itu setelah mengenakan tudung..
Malah, pengikutnya juga bersemangat meninggalkan kata-kata nasihat demi memberi dorongan kepada Sarah untuk kekal dengan imej tersebut, sekali gus menyerlahkan identiti seorang wanita muslimah. – UTUSAN ONLINE











