Sistem pantau aduan rakyat dicadang guna media sosial - Nancy - Utusan Malaysia

Sistem pantau aduan rakyat dicadang guna media sosial – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 23 Mei – Kerajaan negeri disarankan mempunyai satu sistem yang boleh memantau aduan rakyat melalui media sosial supaya mereka boleh bertindak terus melalui agensi yang berkaitan di sesuatu tempat.

Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, agensi-agensi tersebut misalnya Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kebajikan boleh bertindak melalui aduan daripada sesuatu maklumat yang dipantau dan disiasat Pejabat Daerah yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran kampung. 

Katanya, daripada pengalaman yang dialami sejak 2008, setiap kali musim kemarau pasti berlakunya krisis air maka prosedur operasi standard (SOP) seperti itu perlu diselaraskan demi keselesaan rakyat.

“Saya merasa amat bersimpati dengan penduduk terpaksa melalui kesulitan ini setiap tahun dan tidak kira aduan dibuat kepada wakil rakyat pembangkang atau kerajaan akan terpaksa kembali kepada sistem kerajaan setempat.

“Tetapi hakikatnya, pegawai kerajaanlah akan memastikan kerja dilaksanakan dengan efisien dan saya yakin mereka mempunyai kepakaran diperlukan yang mana orang politik dan pentadbir negeri perlu bekerjasama  menangani semua masalah setempat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini berlaku krisis bekalan air di sekitar Kabong dipercayai berpunca daripada masalah tekanan air rendah dari loji rawatan air utama Lichok Roban dan diburukkan lagi dengan insiden saluran paip utama pecah di simpang Roban.

Masalah air itu menjejaskan kira-kira 5,000 orang penduduk dari kawasan Kampung Hulu Laut, Hulu Tengah, Masjid Lama, Sungai Endot, Kampung Lintang, Sungai Benang, Hilir Laut dan Gerigat.

Berikutan masalah itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan khas sebanyak RM6.5 juta bagi mengatasi segera masalah itu ketika membuat tinjauan di Kabong semalam.

Mengulas lanjut Nancy berkata, daripada apa yang dimaklumkan, jika ketiadaan air minum, ketua masyarakat perlu memohon daripada Jabatan Kebajikan manakala untuk kegunaan seharian, permohonan hendaklah dikemukakan kepada JBALB.

“Untuk rekod, sehingga hari ini penghantaran air mineral  untuk kegunaan memasak yang telah diagihkan Pejabat Parlimen Batang Sadong melepasi 1,841 rumah (3,682 kotak).

“Saya amat bersimpati dengan mereka yang akan meraikan Gawai dan juga penduduk Islam yang berpuasa terpaksa melalui kepayahan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy sedar bahawa kerajaan negeri sedang mengusahakan jalan penyelesaian, namun proses itu akan mengambil jangka masa yang agak panjang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN