KUALA LUMPUR 30 Mei – Serantau Muslim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim tentera Israel dalam ketegangan di Genting Gaza yang menyaksikan seorang pejuang Hamas ditembak kereta kebal tentera rejim itu semalam.
Pengurus Besarnya, Mohd. Hakim Mohd. Nor berkata, sehubungan itu, pihaknya menyeru semua penduduk Islam agar bersatu-padu membantu serta memanjatkan doa untuk kesejahteraan rakyat Palestin.
“Tindakan Israel semakin menggila dan berani kerana telah meningkatkan angka korban penduduk Palestin selepas sekutunya Amerika Syarikat (AS) mencabul hak tanah air umat Islam di sana pada pertengahan Mei yang lalu.
“Walau apapun kezaliman rejim Zionis itu, kita sentiasa berdoa agar penduduk Islam di Palestin agar terus kuat dalam menghadapi segala rintangan dan tidak tunduk dengan kemahuan puak Zionis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seorang pejuang Hamas maut ditembak kereta kebal Israel di sebuah pos kawalan tentera dan tentera rejim turut menahan dua penduduk Palestin yang cuba membolos masuk sempadan.
Dalam perkembangan sama, Serantau Muslim mengajak orang ramai membantu rakyat Palestin yang dihimpit krisis agama dan politik melalui kempen tajaberbuka.com yang dilancarkan sepanjang bulan Ramadhan ini.-UTUSAN ONLINE










