IBU kepada enam sekeluarga yang melancarkan serangan pengeboman bunuh diri di tiga buah gereja di Surabaya baru-baru ini, dikatakan sering berbual dengan jiran tetangga berkaitan soal persekolahan anak-anak dan bertukar resipi makanan.
Wanita dikenali sebagai Puji Kuswati dan keluarganya dikatakan menjalani kehidupan sederhana bagi mengelakkan diri daripada dikesan oleh pasukan antikeganasan Indonesia.
“Isteri saya sering berbual dengan wanita terbabit sepanjang masa mengenai pendidikan anak-anak dan resipi. Mereka juga selalu berjumpa di pasar.
“Mereka juga sangat terbuka dan mesra. Mereka sering memberi sumbangan duit setiap kali berlakunya masalah di kawasan kejiranan seperti jalan rosak,” kata Wery Trikusuma yang tinggal di sebelah rumah keluarga tersebut.
Tambah Wery, keluarga itu juga selalu terbuka untuk menerima tetamu dan tidak percaya mereka mampu melakukan tindakan sedemikian.
Pada 13 Mei lalu, keluarga itu membunuh 18 orang termasuk mereka sendiri dalam insiden pengeboman bunuh diri di tiga buah gereja dan disifatkan terburuk sejak lebih sedekad di negara tersebut.
Kejadian tersebut berlaku sehari selepas enam orang dilaporkan terbunuh termasuk empat pengebom bunuh diri dalam insiden serupa. Lima sekeluarga meletupkan diri sendiri tetapi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terselamat.
Malah pada lewat 13 Mei lalu, satu lagi letupan dilaporkan berlaku apabila tiga sekeluarga maut selepas salah satu bahan letupan meletup dengan sendirinya. Tiga kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu.
Polis mengesyaki kesemua serangan itu dilancarkan oleh rangkaian Jemaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah organisasi yang disenaraikan sebagai pengganas oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Kesemua keluarga yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman itu tinggal di daerah yang penduduknya merupakan golongan sederhana.
“Kami menerima maklumat perisikan mengatakan akan berlaku serangan seminggu sebelum Ramadan tetapi tidak tahu bila atau di mana. Namun tiada laporan mengenai satu keluarga akan terbabit sama,” kata seorang pegawai kerajaan kanan yang enggan dikenali.
Menurut polis, bapa kepada keluarga yang melancarkan serangan di tiga buah gereja itu, Dita Oepriarto, merupakan ketua rangkaian JAD tempatan dan berkemungkinan sudah terlibat dalam aktiviti keganasan sejak berdekad lalu.
Sementara itu, jurucakap agensi perisikan Indonesia, Wawan Purwanto berkata, kumpulan tersebut dipengaruhi dengan taktik sama digunakan oleh militan di Asia Barat, di mana kanak-kanak dan wanita dijadikan sebagai ‘korban’ dalam serangan seumpama itu.
Tambah Wawan, terdapat juga kepercayaan yang mengatakan seluruh ahli keluarga akan memasuki syurga sekiranya melaksanakan serangan itu bersama-sama.
Selain itu, ujar pakar keganasan yang berpangkalan di Singapura, Rohan Gunaratna, insiden yang berlaku baru-baru ini menunjukkan seluruh komuniti dan keluarga boleh menjadi pengganas.
“Itu bermakna tindakan tahan dan bunuh tidak akan berkesan. Kerajaan harus lebih banyak terlibat dengan pemimpin masyarakat, sekolah dan pemimpin agama bagi memperluaskan kemampuan antikeganasan,” katanya.











