Seorang lelaki nyaris maut dilenyek lori - Utusan Malaysia

Seorang lelaki nyaris maut dilenyek lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki nyaris maut dilenyek lori dalam satu kemalangan yang melibatkan enam kenderaan di Kilometer 26.5 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu, kesemua kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Putrajaya menghala ke Shah Alam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Hino dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh sebuah lagi lori jenis Nissan yang berada di hadapannya.

“Akibat perlanggaran tersebut, beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan apabila gagal mengelak dan merempuh kenderaan lain yang berada di hadapan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini awal pagi tadi.

Menurut Azman, salah seorang pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut sempat melompat keluar dari kereta yang dipandunya untuk menyelamatkan diri dari dirempuh lori.

“Lelaki berkenaan yang berusia 35 tahun dan memandu Toyota Vios bertindak pantas melompat keluar dari kereta dipandunya sebaik menyedari dia akan dirempuh oleh sebuah lori.

“Tiada kecederaan yang dilaporkan dan siasatan berhubung kejadian ini masih diteruskan untuk mengetahui punca kemalangan,” ujarnya.

Selain dua buah lori, kemalangan tersebut turut melibatkan beberapa buah kenderaan seperti sebuah Toyota Vios, sebuah Proton Persona, sebuah Suzuki Swift serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Morano.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Naseer Peping di talian 016-3925903 bagi membantu siasatan berhubung kemalangan tersebut yang kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN