KUALA LUMPUR 30 Mei – Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mencadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan agar diwujudkan satu badan tunggal yang bertanggungjawab untuk memantau semua disiplin seni di Malaysia.
![]() |
|
FREDDIE FERNANDEZ
|
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, majlis kesenian itu akan menjadi tempat bernaung untuk semua, tidak hanya kepada industri filem, muzik dan teater tetapi turut melibatkan penulisan, seni halus dan pelbagai lagi bidang.
Beliau menambah, respons yang diberikan oleh Majlis Penasihat Kerajaan adalah sangat positif dan sekiranya terlaksana, ia bakal memberikan khabar gembira buat semua anak seni.
“Karyawan mencadangkan agar semua disiplin seni diletakkan di bawah satu badan baharu yang bertanggungjawab untuk memantau dan mewujudkan pelbagai aktiviti bagi pembangunan industri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai pertemuan berkenaan di pekarangan Menara Ilham, di sini hari ini.
Yang turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan pada pagi ini ialah Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), Mohd. Taufek Razak; Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Fauzi Ayob. – UTUSAN ONLINE










