KUALA LUMPUR – Kerajaan persekutuan akan menyiasat jika terdapat sebarang salah laku dalam pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata, ada bukti berlakunya manipulasi dan penggunaan wang untuk menyertai.
“Anda akan dapati ada orang yang lompat parti jika mereka mahu atas sebab prinsip tetapi jika mereka dibeli, kami tidak akan mengiktiraf itu sebagai cara bertukar parti yang betul.
“Kami akan siasat. Jika kami dapati ada elemen rasuah dan wang dibayar kepada mana-mana menteri atau orang lain untuk menyertai, kami anggap ini sebagai rasuah,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Dr. Mahathir berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat seolah-olah menutup mata terhadap amalan rasuah sepanjang pilihan raya dan siasatan sewajarnya perlu dilaksanakan untuk menangani isu itu. – Bernama










