KUALA LUMPUR 27 Mei – Sebahagian jalan di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Dang Wangi sehingga ke persimpangan Jalan Bunus 6 ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf jalan.
Penutupan lorong berkenaan menyebabkan pengunjung di gerai-gerai jualan pakaian persiapan hari raya yang terkenal di ibu kota, menjadi berkurangan berbanding tahun lepas.
Meskipun baharu minggu pertama bulan Ramadan, rata-rata peniaga menyatakan perbezaan dapat dilihat kerana bilangan pengunjung yang berkurangan berbanding dengan tahun lalu.
Salah seorang peniaga, Nurul Hidayah Isa, memberitahu, penutupan Lorong TAR menyebabkan banyak gerai tidak dibuka dan ini menjadi punca mengapa pengunjung pada minggu pertama bulan puasa kali ini tidak seramai tahun lalu.
“Sebahagian daripada Lorong TAR ditutup membolehkan kenderaan melalui Jalan Bunus 6 dari Jalan TAR. Berbanding tahun lepas, jalan ini ditutup untuk untuj dijadikan laluan pejalan kaki sahaja.
“Keadaan inilah yang menyebabkan pengunjung tidak ramai. Selalunya, pengunjung berpusu-pusu datang dari arah Jalan Dang Wangi tetapi apabila lorong ini ditutup, memang terasa pengunjung tidak seramai tahun lalu,” katanya kepada wartawan Utusan Online yang membuat tinjauan di sekitar Lorong TAR di sini, hari ini.
Seorang lagi peniaga, Sazrul Aiman ketika ditemui, turut meluahkan perasaan yang sama seperti Nurul Hidayah apabila perniagaan yang dijalankannya, berpindah lokasi ke gerai berdekatan dengan lorong yang terletak di bahagian belakang T-Hotel & Resident.
Sazrul berkata, petak gerainya kini agak kecil berbanding tempat asal dan laluan pejalan kali juga lebih sempit menyebabkan keadaan di situ agak padat meskipun pada waktu tengah hari.
“Jalan sempit membuatkan agak sukar bagi orang ramai untuk berjalan. Apabila orang melihat betapa padatnya nak berjalan, ini boleh membuatkan mereka berubah fikiran untuk masuk ke sini.
“Sepatutnya kerja-kerja penyelenggaraan di sebelah sana itu, diselesaikan segera kerana menjelang hari raya yang tidak lama lagi, orang ramai pasti hendak datang ke sini untuk membeli-belah bagi membuat persiapan raya.
“Jadi, saya sememangnya terkejut apabila pengunjung tidak seramai tahun lepas. Biasanya, awal-awal puasa pun orang sudah mula memenuhi gerai-gerai dekat sini tambahan pula hujung bulan, orang baharu dapat gaji,” luahnya. – UTUSAN ONLINE











