KOTA SAMARAHAN 20 Mei – Seorang ibu tunggal dari Kampung Melaban di sini menjual sayur hutan sebagai sumber rezekinya sejak lima tahun dahulu.
Menurut Winnie Madi, 50, sudah menjadi rutin hariannya masuk ke hutan awal pagi untuk mencari sayur hutan seperti paku-pakis, rebung dan pucuk bandung untuk dijual.
“Awal pagi lagi saya sudah bangun untuk masuk ke hutan mencari sayur-sayuran untuk dijual digerai berdekatan Kampung Entingan pada sebelah tengah hari hingga petang.
“Sayuran hutan yang saya jual sentiasa mendapat sambutan memandangkan tidak ramai yang menjual sayuran hutan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Tambahnya, setiap hari dia akan berjual digerai yang disewa sebanyak RM50 sebulan daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
“Sudah menjadi lumrah dalam perniagaan ada kala kita memperoleh hasil yang banyak dan sebaliknya.
“Secara puratanya saya mampu memperoleh antara RM30 hingga RM50 sehari daripada jualan hasil hutan di sini,” ujarnya.
Menurutnya, dia menjadikan perniagaan itu sebagai sumber rezeki memandangkan dia meminati bidang itu sejak dahulu lagi. – UTUSAN ONLINE











