RUSUHAN yang dicetuskan samseng bola sepak England mencemari edisi ke-14 Piala Dunia yang berlangsung di Itali pada 1990.
Dua jam sebelum sepak mula Kumpulan F antara England dan Belanda, kira-kira 1,000 penyokong fanatik The Three Lions membaling batu ke arah anggota polis hingga memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.
Dua anggota polis dan tujuh peminat cedera dalam pergaduhan yang bermula selepas penyokong England merempuh penghadang polis berhampiran Stadium Sant’Elia di pinggir bandar selatan Sardinia.
Melihat kepada sejarah samseng bola sepak yang sukar dibendung, Perdana Menteri England, Margaret Thatcher juga hampir menyuruh negara itu menarik diri kerana bimbang penyokong mereka akan memalukan negara.
Seramai 1,500 anggota polis mengawal stadium sepanjang perlawanan yang berkesudahan 0-0 itu berlangsung, malah sekumpulan peminat terpaksa diiringi anggota bersenjata bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Keganasan bola sepak bagaimanapun sukar dibendung, penyokong England, Jerman dan tujuh negara lain, termasuk Switzerland terus mencetus kekacauan hingga ada yang terpaksa dipenjara serta dihantar pulang.
Walaupun dibayangi keganasan bola sepak, kerancakan Piala Dunia tidak terjejas dengan dua pasukan gergasi, Argentina dan Jerman Barat bertemu dalam perlawanan akhir.
Buat kali pertama dalam sejarah, dua pasukan yang berentap dalam final kejohanan sebelumnya, bertemu sekali lagi di pentas yang sama.
Begitupun, pertembungan kali ini tidak begitu menarik seperti di Mexico 1986 apabila kedua-dua pasukan memilih untuk bermain secara bertahan dan selamat hingga menyaksikan tidak banyak percubaan dilakukan.
Selepas kalah 2-3 di Mexico, ramai tidak menjangkakan Jerman Barat akan membalas dendam dengan begitu cepat selepas sepakan penalti yang disempurnakan Andreas Brehme membantu mereka merangkul kejuaraan ketiga.
Jerman dihadiahkan penalti ekoran kekasaran yang dilakukan Roberto Sensini ke atas Rudi Voeller, malah Argentina menutup permainan dengan sembilan orang apabila Gustavo Dezotti menjadi pemain kedua dilayangkan kad merah selepas Sensini.









