Sambutan Gawai memperkenalkan kepelbagaian masyarakat Sarawak - Utusan Malaysia

Sambutan Gawai memperkenalkan kepelbagaian masyarakat Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 31 Mei – Sambutan Gawai adalah tanpa berpolitik dan masa sesuai untuk memperkenalkan kita semua yang hidup di Sarawak, sebagai masyarakat mempunyai pelbagai budaya dan berbilang bangsa.

Menurut Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, perayaan tersebut menyatukan kita semua sebagai rakyat Sarawak.

Katanya, ketepikan politik dan pilihan raya, sebaliknya berharap dapat pulang ke kampung di mana dapat bergembira dan bersyukur di atas segala keberkatan.

“Kita bersyukur kepada Tuhan memberikan kita yang secukupnya pada tahun lalu dengan Sarawak memang diberkati yang kaya dengan kepelbagaian dan budaya, malah sumber asli.

“Kita tidak boleh lupa bahawa pemeliharaan dan pengurusan kekayaan adalah sangat penting;dan ia mesti digunakan dengan bijak untuk kepentingan semua rakyat Sarawak, bukan hanya golongan elit sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau merangkap Ahli Parlimen Selangau berkata, selepas kejadian yang berlaku di Malaysia, biarlah orang menyedari bahawa kuasa sebenar terletak pada rakyat, jika mereka bersatu.

“Inilah aspirasi rakyat untuk memilih kerajaan baharu dan sesungguhnya, kita menuai apa yang kita tanam.

“Saya berdoa agar kerajaan baharu akan bertanggungjawab dalam melaksanakan kewajipannya kepada seluruh negara dan kerajaan Sarawak bertanggungjawab dalam pengurusan kekayaan kita untuk semua rakyat negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Baru mengucapkan Selamat Hari Gawai yang diberkati kepada semua rakan Dayak.

“Gayu guru, gerai nyamai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN