KUALA LUMPUR 30 Mei – Saham tiga syarikat yang membentuk konsortium dalam projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mencatat penurunan dalam pembukaan awal pagi ini ekoran keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut, Isnin lalu.
Paling ketara saham YTL Corporation Bhd. (YTL) terjejas teruk apabila menyusut 6.4 peratus, terendah sejak Oktober 2008 setakat 9.15 pagi ini. Dalam sesi dagangan pukul 11 pagi, saham syarikat tersebut susut lapan sen kepada 94 sen sesaham.
Saham Gamuda pula susut 40 sen kepada RM3.73 sesaham manakala Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) susut empat sen kepada 64.5 sen sesaham.
Pada April lalu, MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp.) mengumumkan dua konsortium berjaya memperoleh tender sebagai Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) bagi kerja-kerja awam untuk projek HSR. – UTUSAN ONLINE










