Sabah dekat di hati Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Sabah dekat di hati Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 25 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail bertitah, berharap hubungan antara kerajaan negeri Perlis dan Sabah yang terjalin sejak sekian lama akan terus dipereratkan.

Dalam masa sama, baginda juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu selain berharap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dapat membawa negeri tersebut ke arah lebih maju pada masa akan datang.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, Sabah begitu dekat dengan hati baginda yang sentiasa meluangkan masa melawat negeri di bawah bayu itu pada setiap tahun.

“Di kesempatan ini juga, saya mengalu-alukan para usahawan dari Sabah supaya datang ke Perlis untuk melihat sendiri peluang-peluang pelaburan dan perniagaan yang ada di sana (Perlis).

“Anda juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang turut memainkan peranan untuk bersama-sama membantu khususnya dalam penglibatan dalam pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan pelbagai lagi pembangunan lain di Perlis,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli pada Program BizTalk Ramadan dan Iftar anjuran Mara di Institut Kemahiran Mara (IKM)

di sini malam tadi.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama delegasi seramai 25 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perlis tiba di negeri ini dan disambut oleh Mohd. Shafie yang kemudian bersama baginda menyertai program tersebut.

Program tersebut antara aktiviti sempena lawatan baginda bersama rombongan kerajaan negeri Perlis ke Sabah sempena Op Pasir 2018.

Antara objektif lawatan tahunan itu adalah bagi mendedahkan kepada delegasi mengenai perlaksanaan serta menyelami cabaran dan tugasan oleh pasukan-pasukan keselamatan di sempadan perairan negara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN