Rusia terus ditimpa malang, Jepun turut tewas - Utusan Malaysia

Rusia terus ditimpa malang, Jepun turut tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 31 Mei – Tuan rumah Piala Dunia, Rusia meneruskan aksi longlai apabila mereka tumpas 0-1 di Austria, hari ini, dan Jepun turut ditimpa nasib serupa setelah tewas 0-2 menentang Ghana, di laman sendiri bagi perlawanan sulung buat jurulatih, Akira Nishino yang baharu sahaja mengambil alih Samurai Blue.

Kekalahan melanda skuad Rusia selepas mengharungi prestasi buruk sepanjang tempoh tujuh bulan setelah mereka gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut, dan dibolosi dengan 10 gol dalam empat perlawanan terakhir.

Alessandro Schopf menjaringkan gol tunggal perlawanan sewaktu pertengahan babak pertama selepas menerima hantaran daripada Marko Arnautovic dan skuad bimbingan Stanislav Cherchesov kelihatan kekurangan kualiti sepanjang permainan.

Sergei Ignashevich kembali ke dalam kesebelasan utama selepas dua tahun tidak berbuat demikian, tetapi kehadirannya hanya memberi impak yang kecil terhadap benteng pertahanan mereka.

Ignashevich muncul pemain tertua yang mewakili Rusia pada usia 38 tahun dan 320 hari, mengatasi rekod yang dipegang bekas penjaga gol Soviet Union, Lev Yashin yang tampil buat kali terakhir di pentas antarabangsa ketika usia mencecah 37 tahun dan 267 hari.

Rusia, yang gagal melepasi saingan kumpulan Piala Dunia pada 1994, 2002 dan 2001, berada dalam Kumpulan A yang dilihat memiliki pasukan yang agak lemah yang mana Arab Saudi, Uruguay dan Mesir menjadi pencabar mereka.

Jepun yang berwajah baharu, tewas 0-2 kepada Ghana di laman sendiri yang sekali gus menyebabkan jurulatih baharu mereka, Nishino berdepan kesukaran dalam mempersiapkan skuad bimbingannya untuk mengharungi perlawanan pertama yang tidak sampai tiga minggu di Rusia.

Blue Samurai akan memulakan kempen Piala Dunia, Kumpulan H menentang Colombia pada 19 Jun. Poland dan Senegal merupakan pasukan lain yang turut berada dalam kumpulan sama.

Nishino cuba menerapkan formasi baharu dengan meletakkan tiga pertahanan tengah, dua sayap belakang dan dua pemain di jentera depan bagi menyokong penyerang tunggal mereka.

Bagaimanapun, kapten Ghana, Thomas Partey berjaya membolosi pintu gol Jepun dan Emmanuel Boateng yang melakukan penampilan sulung menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan Jepun ditimpa kekalahan di dalam hujan di hadapan 64,520 penyokong di Stadium Nissan, Yokohama. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN