Rundingan Trump, Jong-un ‘berjalan dengan baik’ - Utusan Malaysia

Rundingan Trump, Jong-un ‘berjalan dengan baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL 27 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan rancangan dan persiapan bagi persidangan antara beliau dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ‘berjalan de­ngan baik’.

Pada masa yang sama, Pre­siden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, Jong-un memberitahu bahawa rundingan berkenaan akan menjadi peluang bersejarah untuk menamatkan konfrontasi berpuluh-puluh tahun itu.

Pengisytiharan perdamaian antara kedua-dua pemimpin tersebut akhirnya berjaya menamatkan gelora diplomatik di Semenanjung Korea yang telah meningkatkan ketegangan di rantau ini.

Trump baru-baru ini mencetuskan kebimbangan selepas membatalkan pertemuan dengan Jong-un yang sepatutnya diadakan di Singapura pada 12 Jun ini dengan alasan Pyongyang ‘membuka ruang permusuhan’.

Namun dalam tempoh 24 jam beliau menarik balik keputusan itu dan menyatakan persida­ngan boleh diteruskan selepas me­ngadakan rundingan dengan pegawai-pegawai Korea Utara.

“Semuanya berjalan baik dan tetap diadakan pada 12 Jun di Singapura,” katanya.

Keputusan Trump yang sukar dijangka itu menyebabkan Jong-un dan Jae-in mengadakan mesyu­arat tergempar semalam untuk memastikan rundingan berjalan semula.

Menurut Jae-in, pemimpin Korea Utara itu menyifatkan persidangan di Singapura sebagai pe­luang penting untuk menamatkan konfrontasi berkenaan.

“Beliau menyuarakan hasrat untuk menamatkan konfrontasi itu melalui kejayaan persidangan AS-Korea Utara serta mahu beker­jasama demi kemakmuran dan kedamaian rantau,” katanya.

Sementara itu, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA mela­porkan, Jong-un berkata, kedua-dua negara Korea itu perlu be­kerjasama secara positif antara satu sama lain bagi memperbaiki hubungan antara Korea Utara-AS dan mewujudkan mekanisme perdamaian yang kekal dan berpanjangan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN