KUALA LUMPUR 28 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menonjolkan imej baharu dan lebih agresif dalam tempoh enam bulan sebagai usaha menarik lebih ramai penonton, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Gobind berkata perubahan itu bagi memastikan stesen berita paling utama itu mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta yang lain termasuk di peringkat antarabangsa.
“Apa yang kita siarkan kepada rakyat adalah sangat penting kerana ia mencorakkan cara pemikiran rakyat, justeru kita kena lihat kepada wajah RTM itu sendiri dan ramai memberi maklum balas kepada saya bahawa RTM kena ada perubahan drastik.
“Jadi hari ini saya telah minta kepada pengurusan (RTM) supaya kita lihat kepada penyaing kita seperti CNN dan Al-Jazeera yang menyediakan bahan yang menarik untuk penonton kerana dalam bidang ini kita nak tarik minat penonton dan kalau orang tak lihat program kita maka program itu tidak berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri hari ini.











