KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu sedang menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan kaedah penyaluran royalti minyak dan gas kepada rakyat negeri itu.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jaminan Dr. Mahathir berhubung royalti minyak adalah sesuatu yang sangat positif dalam hubungan antara kerajaan negeri Terengganu dan persekutuan.
“Saya mewakili rakyat Terengganu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri atas jaminan berhubung penyaluran royalti minyak itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Batu Enam di sini hari ini.
Isu royalti minyak dan gas Terengganu terus menjadi perhatian ramai apabila Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil petroleum dan gas asli itu.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tetap menerima manfaat royalti berkenaan namun ia tidak diberi secara terus kepada kerajaan negeri pimpinan PAS ketika ini, Ahmad Samsuri berkata, itu hanyalah pandangan peribadi beliau. – Bernama











