MADRID – Bekas penyerang Real Madrid, Ronaldo melabelkan Mohamed Salah benar-benar mengagumkan sehingga membandingkan bintang Liverpool itu dengan pemain Barcelona, Lionel Messi.
![]() |
|
RONALDO (kanan) mengakui Salah merupakan ancaman terbesar buat Real tetapi tetap yakin kelabnya merupakan pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan musim ini.
|
Salah, 25, telah mempamerkan prestasi cemerlang apabila meledak 44 gol dalam kesemua kejohanan pada penampilan pertamanya bersama The Reds.
Pemain Mesir itu dianggap akan menjadi elemen kejutan terbesar buat Liverpool dalam usaha mengecewakan Real pada aksi final Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine awal pagi Ahad ini.
Justeru, Ronaldo tanpa berselindung mengakui kagum dengan Salah dengan mengatakan penyerang tersebut memiliki persamaan dengan penyerang berbisa Barcelona, Messi.
“Saya benar-benar menyukai Salah. Dia seorang pemain yang menakjubkan.
“Dia seperti Messi. Saya ada terbaca bahawa saya adalah inspirasinya dan itulah yang membuatkan saya lebih gembira,” katanya.
Di sebalik prestasi cemerlang Salah, Ronaldo tetap memilih kelabnya sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini.
“Ramalan saya adalah kemenangan 3-2 untuk Real Madrid. Jika mereka (Liverpool) menang, ia akan menjadi satu keputusan paling sukar dijangka tetapi saya optimis Real akan menang,” katanya. – Agensi












