MONACO – Impian pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo melakar kemenangan pertama pada perlumbaan Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Monaco akhirnya menjadi kenyataan selepas muncul juara di Litar Monte Carlo malam tadi.
Ricciardo yang memulakan saingan di petak pertama bijak mengawal keadaan dan mengekalkan momentum sehingga akhir perlumbaan meskipun diasak hebat pelumba Ferrari dan Mercedes.
Sebastian Vettel yang berada di kedudukan kedua cuba untuk mengatasi Ricciardo, namun tidak berjaya keadaan di Litar Monaco yang agak sempit memberi kesukaran kepada pelumba Ferrari itu untuk muncul juara.
Ricciardo akhirnya menjuarai perlumbaan tersebut selepas menamatkan saingan dengan catatan masa terpantas 1 jam 42 minit 54.807 saat.
Ia merupakan kemenangan keduanya musim ini selepas muncul juara di Grand Prix China.
Sementara itu, Vettel terpaksa berpuas hati apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan diikuti pelumba Mercedes, Lewis Hamilton yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Saya fikir saya boleh menunjukkan lebih banyak emosi berbanding semalam (kelmarin). Dua tahun saya menunggu untuk meraikan kejuaraan di sini dan akhirnya tercapai juga.
“Pada perlumbaan tersebut saya rasa kehilangan daya pecutan pada jentera dan saya fikir tidak mampu menamatkan perlumbaan hari ini.
“Saya menamatkan saingan hanya menggunakan enam gear. Tak sangka akhirnya saya berjaya melakukannya dengan baik. Terima kasih kepada pasukan dan semua yang hadir memberi sokongan kepada saya,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Podium ketiga sudah memadai buat Hamilton untuk kekal sebagai pendahulu carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 110 mata. Vettel tempat kedua dengan 96 mata dan Daniel Ricciardo tempat ketiga (72 mata). – Agensi










