Remaja maut selepas tertidur semasa membonceng motosikal - Utusan Malaysia

Remaja maut selepas tertidur semasa membonceng motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Akibat tertidur seorang remaja yang merupakan pembonceng sebuah motosikal maut selepas terjatuh dan terkena besi penghadang jalan dalam kejadian di Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa, Muhamad Firdaus Anuar, 19, menaiki motosikal yang ditunggang rakannya, Mohd. Syawalrudin Derahman, 22, sebelum terjatuh ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, semasa kejadian dua rakan itu menaiki motosikal jenis Demak dari arah Taman Bendahara menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.

“Semasa tiba di lokasi kejadian bergampiran Kem Tentera 8 Briged di sini, Muhamad Firdaus dikatakan tertidur dan terjatuh ke besi penghadang jalan sebelum terjatuh ke atas jalan.

“Sebelum terjatuh itu, pembonceng itu sempat menarik rakannya yang menunggang motosikal. Rakannya juga terjatuh dan mengakibatkan motosikal itu terbabas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ismail berkata, remaja berusia 19 tahun itu maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×