GERIK: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini berada berhampiran lokasi enam individu yang dilaporkan hilang selepas berjaya mengesan isyarat asap dipercayai dibuat kumpulan berkenaan, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, berdasarkan tinjauan udara, signal asap itu dikesan kira-kira sejam perjalanan dari Kem Kulim.
Katanya, seramai 25 anggota SAR kini berada berhampiran lokasi mangsa, terdiri daripada 11 anggota yang dihantar menggunakan pesawat Mi-17 JBPM dan 14 Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang bergerak melalui laluan pendakian.
“Pesawat Mi-17 JBPM dari Pangkalan Udara Subang tiba di Pos Kemar pada pukul 4.30 petang sebelum taklimat berkaitan situasi semasa dan perancangan operasi dibuat bersama kapten pesawat.
“Berdasarkan penelitian dan perbincangan antara pihak JBPM dan Jabatan Perhutanan serta maklumat SMS terakhir mangsa pada 1 September lalu, mereka dipercayai menggunakan laluan Gunung Bieh, Gunung Sepat, Gunung Belatoh, Kampung Agek, Gunung Bongok sebelum menuju ke Pos Kemar,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sayani, seramai 11 anggota SAR terdiri daripada lima anggota JBPM, empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang anggota Jabatan Perhutanan dan seorang MGP telah diturunkan di Kem Kulim menggunakan teknik winching.
Katanya, pasukan SAR turut dibantu 14 MGP yang bergerak melalui laluan pendakian bagi mendekati lokasi mangsa, menjadikan keseluruhan pasukan yang berada berhampiran kumpulan berkenaan seramai 25 orang.
“Kesemua pasukan SAR dan mangsa dijangka berkumpul semula di Kem Kulim malam ini.
“Bagaimanapun, keputusan sama ada kesemua mangsa dan pasukan SAR akan meneruskan perjalanan keluar malam ini atau bermalam di Kem Kulim bergantung kepada keadaan mangsa serta situasi di lokasi,” katanya.
Katanya, anggaran perjalanan dari Kem Kulim ke Pos Kemar mengambil masa antara tiga hingga empat jam. – UTUSAN










