PASUKAN Kedah tetap berpuas hati dengan debut pertama penyerang importnya, Paulo Rangel meskipun dia tidak menyumbang sebarang gol ketika mereka menang 2-1 ke atas Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin.
Pemain kelahiran Brazil yang pernah beraksi dengan pasukan Nakhon Ratchasima pada Liga Thailand menjadi pilihan Kedah yang mahu mencari pengganti Pablo Pallares, penyerang dari Sepanyol bagi menguatkan jentera serangan pasukan.
Pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin mengakui kemasukan Paulo pada penghujung babak pertama memberikan impak positif terhadap keserasian bersama pemain tempatan.
“Kami terlebih dahulu melihat corak permainan pihak lawan sebelum membawa masuk Paulo pada lewat separuh masa pertama perlawanan.
“Kami juga percaya dia dapat membaca perlawanan tersebut serta mampu mempertingkatkan lagi kemampuannya berdepan aksi akan datang, sekali gus memperbaiki tahap kecergasannya.
“Paulo juga menunjukkan kemampuan mengawal bola dengan baik serta beraksi menerusi cara tersendiri. Sudah pasti kelebihan ini dapat digunakan serta dimanfaatkan menjelang perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Dalam aksi itu, skuad Helang Merah selesa di depan dengan dua jaringan hasil sentuhan Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi untuk memastikan mereka berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
Walaupun Selangor cuba bangkit pada babak kedua, namun mereka sekadar memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-70.
Sementara itu, Syed Khairul Anuar juga berharap semua pemain dapat meneruskan rentak kemenangan bagi aksi seterusnya.
“Kita gembira dengan aksi semua pemain tempatan kerana berjaya memberikan komitmen baik walaupun mereka bermain dalam bulan puasa.
“Semangat ini memang diperlukan supaya kami dapat menunjukkan aksi terbaik ketika berdepan pasukan lawan,” ujarnya.











