Rakyat jangan hanya jadi ‘pak turut’ - Utusan Malaysia

Rakyat jangan hanya jadi ‘pak turut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Rakyat diminta tidak menjadi ‘pak turut’ walaupun beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan membimbangkan dan bakal memberi kesan buruk kepada mereka.

Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat UMNO dalam satu kenyataan berkata, pertama, kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir iaitu rakyat tidak perlu risau sekiranya taraf kredit Malaysia diturunkan.

“Kenyataan ini amat membimbangkan kerana penurunan peringkat penarafan kredit akan membawa pelabur asing keluar dari pasaran saham dan pasaran bon Malaysia.

“Perkara ini akan meningkatkan kadar faedah dan kos pembayaran balik hutang negara akan meningkat sebanyak RM 10 bilion setahun, manakala rakyat biasa akan menghadapi dengan kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya.

Yang kedua, kenyataan dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai hutang negara kini adalah RM 1 trilion.

“Mengapa kita perlu bimbang? Kerana ini adalah kenyataan politik dan tidak benar. Guan Eng menyatakan hutang rasmi bersama-sama dengan pembayaran pajakan dan liabiliti luar jangka – satu langkah yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak tepat.

“Bukan sahaja ini akan menakutkan pasaran kewangan yang telah menyumbang kepada pasaran saham yang jatuh merudum selama beberapa hari pada akhir dan kelemahan Ringgit Malaysia, malah boleh digunakan sebagai alasan bagi Kerajaan PH untuk tidak menyampaikan janji manifestonya,” katanya.

Manakala, yang ketiga, keputusan Mahathir membatalkan projek Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kononnya rakyat Singapura sudah meluat dengan kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mereka.

“Projek HSR adalah salah satu sebab mengapa agensi antarabangsa meningkatkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Membatalkan projek ini mungkin bermakna ramalan pertumbuhan KDNK akan diturunkan, menyebabkan lebih ramai pelabur menarik balik perancangan mereka untuk melabur di Malaysia,” ulas kenyataan tersebut.

Akhir sekali kenyataan yang dikeluarkan oleh Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, tidak ada gunanya mempunyai pertumbuhan 10 peratus kerana harga yang lebih rendah adalah apa yang rakyat mahu.

“Nampaknya kerajaan bersedia untuk mengorbankan pertumbuhan KDNK untuk kos sara hidup yang rendah kerana pertumbuhan KDNK memperluaskan ekonomi dan memperluaskan peluang bagi kita semua.

“Pertumbuhan KDNK mencipta pekerjaan dan menimbulkan pendapatan. Adakah kita benar-benar mahu mempunyai gaji yang rendah dan pekerjaan yang lebih rendah sebagai balasan untuk kos sara hidup yang rendah? Bukankah ini masalah sebenar Malaysia ketika Mahathir bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003?,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, rakyat harus sedar tentang apa yang berlaku di negara ini.

“Berubah kepada kerajaan baharu tidak bermakna kita perlu membiarkan diri hanya menjadi ‘pak turut’saja. Kita perlu ada harga diri dan bukan seperti kerbau yang dicucuk hidung.

“Akhirnya, keutamaan kita seharusnya kepada kuasa beli, pekerjaan, pelaburan, ekonomi dan masa hadapan yang dipertaruhkan – tidak kira siapa yang menjadi kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN