KANGAR 11 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat bercemar duli bagi menyampaikan sumbangan bencana Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tujuh buah keluarga mangsa ribut di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, di sini semalam.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menyampaikan sumbangan berupa wang tunai itu bagi meringankan beban untuk membaik pulih rumah-rumah terlibat dan pada masa sama turut berkenan bertanyakan khabar dan meninjau keadaan keluarga-keluarga terbabit.
Turut diserahkan baginda ialah kotak-kotak ‘Kits MAIPs Peduli’ berupa pelbagai barangan keperluan asas.
Baginda berangkat singgah di rumah-rumah tersebut ketika menyertai program kayuhan berbasikal anjuran bersama MAIPs dan Telekom Malaysia (TM) sejauh 12 kilometer yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis.
Turut serta dalam program yang disekalikan dengan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Kali Ke-35 bagi 2018 itu ialah Pengurus Besar TM Perlis & Kedah, Anis Ahmad Mohd. Ibrahim beserta para pegawai kanan beliau.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Terdahulu, dalam program berasingan di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, baginda turut berkenan mengurniakan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 seorang kepada seramai 120 orang asnaf terpilih di kawasan terbabit, yang keseluruhannya berjumlah RM72,000.
Pihak TM turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 kepada setiap asnaf itu di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri dan tujuh keluarga mangsa ribut tersebut.
Turut dilaksanakan dalam program itu ialah tazkirah bertajuk ‘Bebaskan Keluarga Anda Dari Najis Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri. – UTUSAN ONLINE










