LABIS 29 Mei – Madrasah Tahfiz Nurul Iman di Kampung Juaseh di sini merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembinaan sebuah bangunan asrama bagi kemudahan para pelajarnya.
Pengerusinya, Mohd. Khair Mean berkata, pihaknya memerlukan kira-kira RM200,000 iaitu RM170,000 adalah untuk membina bangunan sementara manakala selebihnya untuk prasarana lain.
“Setakat ini kami telah mempunyai bangunan sendiri untuk kelas dan pejabat sementara, manakala untuk asrama pelajar pula kami terpaksa menyewa rumah yang terletak kira-kira 400 meter dari bangunan kelas.
“Keadaan ini menyukarkan para pelajar untuk menghadiri kelas pada waktu malam dan sekiranya cuaca tidak menentu, kami bimbang terhadap sebarang kemungkinan yang akan menjejaskan keselamatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, asrama menempatkan seramai 21 pelajar yang kebanyakan mereka berasal dari Johor dan Selangor itu disewa dengan bayaran sebanyak RM200 sebulan sejak pusat tahfiz tersebut mula beroperasi tiga tahun lalu.
Beliau juga bercadang untuk membina asrama tersebut di atas tanah miliknya yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar selain memudahkan pemantauan dilakukan dan demi keselamatan pelajar.
Tambah Mohd. Khair, memandangkan hanya dia dan dua lagi tenaga pengajar tinggal di kawasan tersebut, kewujudan asrama di kawasan sama pastinya akan memudahkan lagi urusan dan aktiviti.
“Setakat ini kami telah berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 yang disumbangkan oleh orang ramai sejak hampir lima bulan lalu dan saya merayu sumbangan orang ramai agar hasrat murni tersebut dapat dilaksanakan.
“Saya harap jumlah tersebut bertambah bagi membolehkan kerja-kerja membina sebuah bangunan asrama baharu yang lebih selesa dan selamat untuk pelajar dapat dimulakan segera,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Khair di talian 0197426309 atau Ramzan Sanusi 0193539152 atau menyalurkan secara terus ke akaun Maybank bernombor 551119121703.










