KOTA KINABALU – Keluarga kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengajak pemimpin itu untuk pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Hasrat itu disuarakan adiknya iaitu Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang turut menasihati Musa supaya berehat sebentar daripada dunia politik.
“Cukuplah berpolitik, rehatlah… kembali sebagai seorang yang kuat.. mari berkumpul dengan keluarga pada Hari Raya nanti,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir di Majlis Berbuka Puasa anjurannya di sebuah hotel di sini hari ini yang turut dihadiri menantu Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Arif.
Turut hadir, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Pairin Joseph Kitingan; Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Rakyat Sabah, Arthur Kurup dan Adun Karanaan, Datuk Masidi Manjun.
Bekas Menteri Luar Negeri itu berkata, beliau kali terakhir bertemu Musa pada 10 Mei lalu di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan beliau. Kali terakhir kita bertemu di Sri Gaya. Saya yakin dia ‘ok’,” katanya.
Musa merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah telah 12 hari menghilangkan diri.
Beliau turut menjadi buruan polis Sabah bagi membantu siasatan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Musa hanya sempat menjadi Ketua Menteri dalam tempoh 48 jam pada 10 Mei lalu selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh 31 kerusi DUN sebelum enam ADUN BN bertindak menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pada 12 Mei, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal diangkat sebagai Ketua Menteri baharu dengan selepas memperoleh 35 kerusi DUN daripada 60 kerusi di Sabah. – K! ONLINE











