KUALA LUMPUR 22 Mei – Proton menawarkan harga rendah bagi semua model keluarannya susulan langkah kerajaan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Jun depan.
Pembeli kereta Proton akan menikmati pengecualian cukai berserta penjimatan hebat pada harga kereta kerana syarikat kini sedang berusaha untuk meningkatkan nilai tambah kepada pelanggan.
Walaupun harga yang ditawarkan kekal sama sehingga tarikh GST berkadar sifar dilaksanakan semua pelanggan diberi pilihan antara rebat tunai segera atau baucar servis yang mempunyai nilai bersamaan kepada perbezaan antara harga kereta semasa dengan yang baharu.
“Kebanyakan harga semua model kereta turun dengan ketara. Harga Saga baharu bagi varian 1.3 CVT Premium adalah RM39,480.43 sebuah berbanding harga GST iaitu RM44,072.25 manakala Persona baharu 1.6 CVT Premium dengan kit badan metalik berharga RM51,531.91.
“Selain itu, Proton Iriz 1.6 Premium CVT berharga RM53,114.51 sebuah, Exora 1.6 Executive CVT Plus (RM67,302.13), Preve MC 1.6 CVT Premium (RM65,888.11), Suprima S model 2017 (RM70,944) dan Ertiga 1.4 Executive CVT Plus (RM57,336.42),” katanya di sini hari ini.
Tambah Proton, selain penurunan harga terdapat juga inisiatif jualan yang menarik bagi bulan Mei yang akan memudahkan orang ramai untuk memiliki kereta Proton.
Katanya, promosi Kosong-Kosong menawarkan pembeli Proton Iriz (varian Eksekutif dan Premium), Proton Ertiga (semua varian) dan Proton Exora (semua varian) yang mendaftar dengan Hong Leong Bank akan menikmati pembiayaan tanpa faedah untuk tahun pertama.
Pelanggan yang memilih untuk membeli Proton Saga atau Persona akan menerima ansuran tiga bulan percuma jika mereka memilih untuk membiayai melalui Proton Commerce.
“Bagi yang membeli Proton Suprima S mereka akan menikmati diskaun tunai sehingga RM15,172 sebagai tambahan nilai kepada penurunan harga daripada GST,” katanya.











