PPPJ akan kerap pantau harga selepas GST sifar - Utusan Malaysia

PPPJ akan kerap pantau harga selepas GST sifar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Persatuan Penggerak Pengguna Johor (PPPJ) akan melakukan lebih banyak pemantauan harga barangan dalam kalangan peniaga terutamanya selepas kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diturunkan kepada sifar peratus bermula 1 Jun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Pengerusinya, Md. Salleh Sadijo berkata, usaha tersebut bagi memastikan peniaga mematuhi keputusan kerajaan terbabit selain sama ada kadar baharu GST sifar itu memberi kesan kepada harga barangan pengguna.

Katanya, fokus pemantau tersebut akan dijalankan pihaknya ke atas pasar raya sekitar negeri ini selain kedai runcit.

“Selepas GST sifar peratus, pemantauan akan dilakukan oleh PPPJ untuk melihat apakah kesannya kepada harga barangan dan sama ada ia dipatuhi peniaga atau tidak.

“Ini penting kerana perlaksanaan sifar GST dilakukan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri dan kita mahu melihat sama ada berlaku pengurangan dari segi kos harga barangan,” katanya selepas melakukan pemantauan harga di Bazar Ramadan Kampung Melayu Majidi di sini hari ini.

Menurut Md. Salleh, hasil pemantau tersebut, pihaknya akan memaklumkannya kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan dapat melihat sejauh mana kesan sifar GST nanti, mana-mana peniaga yang tidak mematuhinya atau mengambil kesempatan, kita akan membuat laporan untuk diserahkan kepada pejabat KPDNKK negeri,” ujarnya.

Tambahnya, PPPJ merupakan badan bukan kerajaan yang memainkan peranan bagi membantu masyarakat berhubung isu kepenggunaan di negeri ini.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan baharu ini terus memberi dokongan dan bantuan kepada PPPJ untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN