PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertimbangkan mana-mana ahli UMNO yang mahu menyertai parti itu namun perlu keluar UMNO terlebih dahulu.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, permohonan terlebih dahulu disusuli dengan peletakan jawatan sebagai ahli UMNO dan pengumuman pendirian terhadap gabungan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.
“Kebanyakan perbincangan pada hari ini tertumpu kepada masalah-masalah selepas pilihan raya iaitu kita dapati orang ramai sekarang ini berminat menyertai PPBM kebanyakan mereka ahli-ahli UMNO.
“Kita tentukan mereka boleh menyertai parti kita setelah mereka isytihar keluar dari UMNO jadi bebas dan menyatakan pendirian mereka terhadap PH barulah kita boleh pertimbang kemasukan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPBM dekat sini hari ini.
Sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan menewaskan UMNO-Barisan Nasional (BN) berkata ahli parti itu tidak akan diterima untuk menyertai gabungan itu.
Tambahnya, buat masa ini hampir seribu ahli baharu mengisi borang untuk menjadi ahli PPBM dalam tempoh satu hari. – K! ONLINE










