LUMUT 28 Mei – Polis menahan pasangan suami isteri dipercayai anggota kumpulan yang bergiat aktif mencuri sarang burung walit dalam serbuan di Ayer Tawar, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, serbuan dilakukan berdasarkan risikan serta maklumat orang awam dan suspek berjaya ditahan pada pukul 8.15 pagi.
Menurutnya, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dan isterinya warga Hong Kong berusia 31 tahun.
“Daripada serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu jenis methamphetamine seberat 15.71 gram, ketamine 5.32 gram dan pil yaba 16.63 gram.
“Selain itu, polis turut merampas satu laras senapang angin, satu bilah parang bersarung hitam, senjata besi buku lima, satu bungkus plastik lutsinar berisi sarang burung anggaran berat 200 gram dan tong hijau disyaki gas karbon dioksida,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Manjung, di sini hari ini.
Katanya, suspek lelaki mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod.
“Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.
Muhamaad Hanif berkata, pihaknya juga turut membuat dua lagi tangkapan dan rampasan kereta di tiga kawasan berasingan semalam.
Katanya, polis juga turut menahan dua lagi suspek di Ayer Tawar dan Sitiawan masing-masing berusia 36 tahun dan 24 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri sarang burung walit.
“Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 448 kanun keseksaan,” katanya.
Sebelum itu, Muhammad Hanif mengadakan perjumpaan dengan pengusaha burung walit bagi memberi penerangan dan mencari penyelesaian berkenaan kes kecurian sarang burung walit.
“Saya harap pengusaha melaporkan segera kepada polis sekiranya berlaku sebarang kejadian kecurian di premis mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











