IPOH 24 Mei – Sebanyak 1,600 bekas berisi bubur lambuk diagihkan kepada anggota polis dan orang awam di Bulatan Sultan Abdul Aziz sini semalam.
Majlis pengagihan bubur lambuk berkenaan disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.
Menurut Hasnan, bubur lambuk berkenaan dimasak secara gotong-royong oleh 200 anggota termasuk ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) negeri dan pihak maggi.
Beliau berkata, pada program kali ini, maggi bukan sahaja menaja bahan asas bubur lambuk malah menyediakan seorang cef bagi membantu memasak.
“Gotong-royong memasak bubur ini telah bermula pada pukul 6 pagi yang mana menyediakan sebanyak enam kawah.
“Ini merupakan program tahunan dan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri,” katanya selepas menyampaikan bubur lambuk kepada Ketua-ketua Jabatan Kontinjen Negeri di Kediaman Rasmi Ketua Polis Perak, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman; Pengerusi Perkep Kontinjen Perak, Datin Zuriani Mohd. Kamal dan Pengurus Penajaan dan Persampelan Nestle Wilayah Utara, Mohd. Ismail Osman.
Hasnan berkata, bungkusan itu turut diedarkan kepada anggota polis yang bertugas sama ada di balai mahupun lapangan termasuk cawangan trafik.











