KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berjumpa dengan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian hari ini bagi menjelaskan mengenai fungsi dan peranan yang akan dibawa oleh kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Dr. Mahathir berkata, sesi perjumpaan tersebut akan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu terutamanya mengenai cara menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
“Esok (hari ini) saya akan menemui semua KSU kementerian dan menerangkan kepada mereka apakah hasrat kita dan apa yang akan kita lakukan khasnya berkaitan rasuah.
“Saya serta kerajaan baharu ini sangat bertegas dalam hal tersebut kerana tidak mahu menteri yang dilantik terlibat dalam amalan korupsi,” kata beliau dalam sesi penerangan kepada Bernama dan RTM di kediaman beliau di Seri Kembangan, Selangor semalam.
Pertemuan tersebut dijadual bermula pada pukul 9 pagi di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. Pertemuan Perdana Menteri dan semua KSU itu ekoran Dr. Mahathir sebelum ini memberitahu, Kabinet baharu kerajaan PH akan dikecilkan dengan beberapa kementerian yang mempunyai 1.6 juta penjawat awam akan digabungkan.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










