PM India lawat Malaysia, 31 Mei - Utusan Malaysia

PM India lawat Malaysia, 31 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Perdana Menteri India, Narendra Modi dijadualkan melawat Malaysia Khamis ini dalam satu daripada siri lawatannya ke rantau Asia Tenggara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, lawatan ke negara ini adalah bagi membolehkannya untuk bertemu dan mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kata kenyataan itu lagi, ucapan tahniah itu adalah sempena kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

“Pertemuan ini akan menjadi pertemuan pertama di antara kedua-dua pemimpin negara berkenaan,” kata Wisma Putra.

Dalam lawatan itu juga, Modi turut merancang untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali terakhir Modi melawat Malaysia adalah pada 23 November 2015.

Malaysia dan India menjalin hubungan baik menerusi rantaian kebudayaan dan sejarah serta pelbagai lagi bidang utama termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.

India merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di Asia Selatan dengan nilai dagangan berjumlah RM61.43 bilion tahun lalu.

Tambah Wisma Putra, lawatan yang akan dilakukan Modi ini membuktikan kekuatan asas dua generasi serta antara pemimpin dua negara iaitu India dan Malaysia.

Selain itu, kata kenyataan itu, ia juga menunjukkan komitmen yang kukuh melibatkan kedua-dua negara bagi terus memperkasakan pakatan-pakatan strategik.

Malahan, pertemuan ini membuktikan pertemuan antara dua minda dalam negara demokrasi.

“Kedua-dua negara memiliki pilihan raya yang serupa di peringkat negeri dan juga negara selain mengalami proses peralihan kuasa yang aman,” ujar Wisma Putra. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN