KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden yang pertama hari ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelmarin, yang menyaksikan gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perjumpaan pertama dengan media tempatan dan antarabangsa selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh semalam berkata, mesyuarat itu akan membincangkan pembentukan barisan Kabinet baharu.
“Esok adalah hari cuti. Tetapi saya tidak akan mengambil apa-apa cuti. Walaupun saya perdana menteri, saya terikat untuk mempertimbangkan pandangan parti-parti komponen, bagaimana kita membahagikan bilangan jawatan menteri di antara kita.
“Terdapat beberapa perkara yang perlu kita lakukan… ada yang diperlukan secara rasmi dan ada yang berkaitan keputusan dasar. Jadi ia adalah masa yang sibuk,” kata pemimpin berusia 92 tahun itu.
Dr. Mahathir, yang mengetuai gabungan empat parti – PPBM, PKR, DAP dan Amanah, telah mencipta kemenangan yang menakjubkan dalam PRU-14 kelmarin apabila mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara selama enam dekad. – Bernama










