TUMPAT 31 Mei – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan digerakkan untuk membuat rondaan sendiri di bandar-bandar utama di seluruh negara, bermula 1 Julai depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kehadiran anggota tambahan tersebut bertujuan meningkatkan kekuatan polis sedia ada dalam membanteras jenayah.
Kehadiran lebih ramai anggota yang meronda kata beliau, diyakini bukan sahaja menjadikan usaha pencegahan jenayah lebih berkesan, malah membuatkan penduduk setempat berasa lebih selamat dan dilindungi.
“Sebagai contoh kita ada PGA, dia akan bantu daerah polis Kota Bharu membuat rondaan cegah jenayah, sekali gus bantu usaha Ketua Polis Kelantan dalam mengurangkan jenayah di bandar utama negeri ini. Kalau di Johor Bahru, ada PPM dan FRU akan bantu.
“Ini sebenarnya hasrat rakyat sendiri untuk lihat lebih ramai lagi anggota polis di lapangan, yang mana mereka bertugas membuat rondaan berjalan kaki di kawasan perumahan dan premis perniagaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita Majlis Berbuka Puasa Bersama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan PGA Briged Tenggara di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri, Datuk Hassanuddin Hassan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli memuji kejayaan PPM Wilayah Tiga yang berjaya mencegah jenayah rentas sempadan dengan baik termasuk membuat rampasan pelbagai barangan terlarang seperti rokok dan arak bernilai RM16 juta bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Sementara itu kata beliau, PGA Briged Tenggara juga melaksanakan tugas dengan baik termasuk merampas enam senjata api bagi tempoh sama tahun ini. – UTUSAN ONLINE










