KUALA LUMPUR 23 Mei – Kesahihan dan kewibawaan ahli Jawatankuasa Tatatertib, tiada prima facie kes, malah menghukum tanpa garis panduan jelas merupakan antara siri kepincangan tadbir urus terbaharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang wajar menuntut campur tangan segera Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad mendakwa dia digantung empat tahun mulai 10 Mac lalu hanya kerana mempersoalkan kewajaran sekatan penyertaan setahun terhadap negeri itu akibat tidak menyertai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari pada tahun lalu.
Katanya, jawatankuasa itu melakukan banyak kesalahan fakta seperti tarikh kejohanan edisi ke-53 itu, tarikh pindaan Perlembagaan PSM dan tidak melalui prosedur pelantikan sewajarnya turut menimbulkan keraguan besar apakah pucuk pimpinan sekarang yang berkuasa sejak 2002, wajar diberikan mandat lagi oleh ahli gabungan.
“PSTPs telah mengutus surat kepada Pesuruhjaya Sukan pada 14 Mei lalu supaya campur tangan dalam kes hukuman penggantungan yang dikenakan PSM terhadap saya selama 48 bulan atau empat tahun yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan dijatuhkan secara salah serta berniat jahat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perkara pertama salah tadbir urus PSM dalam kes ini jelasnya ialah, ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib PSM yang diketuai Datuk Khairudin Samad yang membicarakan kesnya pada 10 Mac lalu di Kuala Lumpur tidak dilantik daripada kalangan wakil kawasan Utara, Tengah, Selatan dan Timur seperti Fasal 19.3 Perlembagaan PSM.
“Ketika itu mereka bersidang dengan hanya dua ahli Majlis Tertinggi (MT) PSM dan lebih memalukan, turut dihadiri seorang kakitangan pejabat.
“Pelantikan mereka juga tidak sah mengikut Fasal 17 Perlembagaan PSM. Pelantikan pengerusinya tidak pernah dirujuk kepada MT bagi mendapatkan persetujuan dan kelulusan, jadi perbicaraan yang dikendalikan mereka terhadap saya secara automatiknya tidak sah dan terbatal.
“Ada ahli jawatankuasa itu yang memberikan fakta salah berhubung pindaan kali terakhir Perlembagaan PSM iaitu 3 Oktober 2006 walhal yang sebenarnya ialah 31 Mac 2010 selain berkeras mendakwa, Piala Emas Khir Johari Ke-53 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya berlangsung pada 24 hingga 29 Februari 2017 sedangkan yang betul ialah 24 hingga 29 Januari 2017,” katanya.










