Pertimbangkan kembali pembatalan - Utusan Malaysia

Pertimbangkan kembali pembatalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA ingin merujuk sebuah paparan di laman Facebook milik Unit Pengambilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bertarikh 17 Mei 2018.

Paparan itu menyatakan bahawa surat tawaran jawatan konstabel wanita yang telah diedarkan kepada calon antara 26 Mac dan 3 April 2018 adalah terbatal berkuat kuasa 16 Mei 2018.

Saya ingin melahirkan rasa terkilan dan tidak puas hati kepada PDRM yang membuat keputusan untuk membatalkan surat tawaran kepada 600 orang calon terbabit.

Untuk pengetahuan, calon-calon terbabit telah menjalani temu duga yang diadakan sekitar Ogos dan September 2017 di seluruh negara.

Kemudian sekitar Mac pula, pihak PDRM telah menghubungi calon-calon konstabel wanita yang berjaya untuk melaporkan diri di dua Pusat Latihan Polis di Dungun dan Langkawi pada 28 April 2018.

Selepas mendapat surat tawaran, ramai calon yang membuat persediaan dengan membeli barang kelengkapan seperti kasut kawad, pakaian serta menempah pengangkutan dan penginapan.

Ada juga calon yang telah mengangkat sumpah di mahkamah seperti dinyatakan dalam surat tawaran. Malah, terdapat calon yang telah berhenti daripada pekerjaan semasa mereka apabila memperolehi surat tawaran berkenaan.

Malangnya, tarikh melapor diri telah ditunda 23 Jun 2018. Situasi ini amatlah mendukacitakan memandangkan banyak perbelanjaan dikeluarkan calon-calon terbabit sebagai persiapan melapor diri pada tarikh berkenaan.

Ada calon yang kerugian ribuan ringgit akibat penangguhan tersebut tetapi yang paling menyedihkan tentulah calon-calon yang kehilangan sumber pendapatan kerana berhenti kerja disebabkan mahu menyertai PDRM.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, tarikh yang mula-mula ditangguhkan kini menjadi ketidakpastian buat calon-calon apabila surat tawaran yang diterima dibatalkan pula. Dalam paparan terbaharu itu, dinyatakan unit PDRM akan membuat semakan terperinci terhadap calon-calon tadi.

Persoalannya, apakah selama ini sesi pemilihan dilaksanakan sambil lewa dan tidak telus oleh PDRM? Jika PDRM hendak berlaku adil, adakan pemilihan baharu dan batalkan kesemua sekali tawaran kepada calon-calon seramai 600 orang itu.

Janganlah bertindak selektif dengan memilih segelintir sahaja daripada calon-calon tadi.

Menambah rasa sedih selepas membaca paparan berkenaan apabila calon-calon diperingatkan untuk tidak membuat sebarang persiapan sehinggalah mendapat surat tawaran baharu.

Apakah pihak pengurusan PDRM tidak dapat menjangka bahawa calon-calon berkenaan telah pun membuat persediaan sejak dari bulan Mac lagi?

Saya berharap PDRM mempunyai rasa empati dan bertimbang rasa kepada calon-calon yang telah mengorbankan begitu banyak masa dan wang untuk membuat persiapan ini.

Saya juga mohon jasa baik Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan balik keputusan membatalkan surat tawaran konstabel wanita kepada calon-calon ini.

Janganlah dihancurkan harapan anak-anak muda ini yang bercita-cita dan berniat ikhlas berbakti kepada negara dengan menyertai PDRM.

pesara konstabel wanita

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN