PERSIAPAN kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia tidak terjejas susulan peralihan kuasa pada peringkat kerajaan Persekutuan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sudah melantik jawatankuasa khas untuk memantau persiapan ke Sukan Asia selain turut bakal mengadakan pertemuan dengan menteri yang akan menjaga portfolio sukan apabila ia diumumkan kelak.
“Setakat ini, proses Sukan Asia tidak terganggu kerana kita sudah tubuhkan pasukan petugas. Kita pun sudah ada senarai sukan yang akan menyertai temasya itu dan selepas ini kita perlu lebih teliti untuk menentukan jumlah dan senarai pendek nama atlet.
“Kita juga sedang menunggu peluang bertemu menteri sukan yang baharu dan berharap untuk teruskan hubungan positif supaya kita dapat menjelaskan hala tuju Sukan Asia.
“Apa yang lebih penting, kita mahu rakyat Malaysia tahu MOM sedang berusaha keras untuk mencapai pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Apa jua perancangan kerajaan, kita sedia bekerjasama,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Eksekutif Lembaga Pengarah MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur semalam.
Sebagai rekod, Sukan Asia bermula dari 18 Ogos hingga 2 September depan.
Norza yang baru memulakan tugas sebagai Presiden MOM pada 5 Mei lalu berkata, pasukan petugas itu akan diketuai Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nafizuddin Najib dan dibantu Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi yang juga merupakan ketua kontinjen negara ke Sukan Asia.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan 12 atlet daripada tiga jenis sukan sudah layak ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina bermula 6 hingga 18 Oktober depan.
Mereka adalah pasukan hoki lelaki lima sebelah, pemain ping pong, Choong Javen serta dua atlet gimnastik, Rayna Hoh Khai Ling (gimrama) dan Zarif Iman Khalid (artistik).
Norza berkata, mesyuarat yang diadakan semalam turut melantik pengerusi bagi pelbagai jawatankuasa di bawah MOM untuk penggal 2018-2021.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr. S.S. Cheema berkata, baki dua kes doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang melibatkan sukan angkat berat dan ekuestrian akan diselesaikan pada mesyuarat persekutuan itu di Manila, Filipina, Rabu ini.










